PAPAR: Kira-kira 2,948 pengguna di sekitar Benoni mendapat manfaat secara tidak langsung daripada pengukuhan bekalan elektrik menerusi Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Benoni 33/11 kV, sekali gus menyokong pertumbuhan kawasan perumahan, perniagaan dan perindustrian di daerah ini.
Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Saadiah Aziz, berkata pencawang itu dibangunkan bagi memperkukuh rangkaian pembahagian elektrik serta menyediakan kapasiti untuk menampung permintaan setempat yang semakin meningkat.
Menurutnya, PPU Benoni dilengkapi dua unit pengubah berkapasiti 30 megavolt-ampere (MVA) setiap satu, menjadikan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 60 MVA.
“Perancangan infrastruktur elektrik perlu bergerak seiring dengan pembangunan kawasan. Kapasiti rangkaian perlu disediakan secara terancang supaya keperluan pengguna sedia ada dapat terus disokong, di samping menyediakan ruang untuk permintaan baharu,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian PPU Benoni di sini, pada Khamis.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
Turut hadir ialah Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, YB Datuk Pengiran Saifuddin bin Pengiran Tahir Petra, serta Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, YBhg. Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Haji Jaafar.
PPU Benoni ditauliahkan pada 11 Jun 2026 dan menyokong keperluan pembangunan setempat, termasuk Parklane City, selain membantu Sabah Electricity mengurus beban elektrik dengan lebih terancang.
Antara kawasan yang mendapat manfaat ialah Kampung Benoni Darat, Kampung Andus, Kampung Laut Andus, Kampung Tengah Benoni, Kampung Benoni Seberang, Kampung Langkawit 1, Kampung Langkawit 2 dan Kampung Kelatuan.
Saadiah berkata, pertambahan kapasiti itu penting bagi menyokong kebolehpercayaan bekalan, menyediakan ruang untuk sambungan baharu serta mengurangkan risiko beban berlebihan pada rangkaian sedia ada.
Beliau turut memaklumkan bahawa enam PPU kini beroperasi di kawasan Papar, iaitu Lakut, Kinarut, Lokawi, Kimanis, Bongawan dan Benoni, manakala dua lagi, iaitu Kogopon dan Damar, berada dalam perancangan.
Katanya, pelaburan infrastruktur itu perlu disusuli pengoperasian yang selamat, penyelenggaraan terancang dan pemantauan prestasi agar manfaatnya dapat terus dinikmati masyarakat.






