Lelaki Maut Tersepit, Viva Dipandu Terbabas dan Langgar Pokok di Jalan Tun...

Lelaki Maut Tersepit, Viva Dipandu Terbabas dan Langgar Pokok di Jalan Tun Fuad

0
SHARE
Gambar: Info X

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas Perodua Viva dipandunya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Tun Fuad Stephen, berhampiran Anjung Selera, kira-kira jam 4.15 pagi hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata mangsa tersepit di tempat duduk pemandu akibat pelanggaran itu sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Siasatan awal mendapati mangsa memandu Perodua Viva dari arah pusat bandar raya Kota Kinabalu menuju ke arah UMS.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan sebelum melanggar sebatang pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Syed Lot, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Likas.

Mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Royston Ubak, di talian 016-3131533 atau mana-mana balai polis berhampiran.