Salleh Kongsi Penyelesaian Kenaikan Harga Barang

Salleh Kongsi Penyelesaian Kenaikan Harga Barang

0
SHARE
Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak...

KOTA KINABALU, SABAH – Penanaman jagung berskala besar mampu mengekang harga barang dari terus naik kata bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Katanya langkah penyelesaian jangka masa panjang itu amat sesuai di Sabah oleh kerana tanah yang luas dan iklim yang sesuai.

“Namun, banyak perkara perlu diteliti dari segi logistik, kos dan tenaga buruh untuk memastikan ia lancar.

“Antara perkara lain yang boleh dilakukan ialah untuk membanteras aktiviti pencatutan dan monopoli…

“Peraturan dan perundangan yang lebih kuat dan berkesan agar tiada salahguna kuasa berlaku,” katanya dalam sebuah catatan Facebook.

Kerajaan kini mengambil langkah mengapungkan harga barang keperluan tertentu demi rakyat dimana beliau mendapati ianya merupakan langkah terbaik buat masa terdekat.

Selain itu, katanya, bantuan secara terus ‘one-off’ seperti diberikan Perdana Menteri sebelum ini perlu berterusan dan bersasar.

Salleh berkata hal itu sangat membantu kerana kos perbelanjaan bulanan rakyat dianggarkan meningkat dari RM100 hingga RM200 sebulan.

“Justeru, untuk menampung kos sara hidup yang meningkat bantuan tunai adalah penyelesaian yang paling cepat dan berkesan,” tambahnya.

Bercakap mengenai ekonomi yang sentiasa berkembang dan membangun, Salleh berkata negara tidak seharusnya terlalu fokus kepada pasaran eksport kerana ia merupakan faktor utama menyumbang kepada gaji rendah.

“Malah kita juga bergantung kepada tenaga pekerja asing. Import dan eksport perlu seimbang…

“Laporan Jabatan Perangkaan pada Mac lalu merekodkan prestasi eksport Malaysia mengekalkan pertumbuhan dua angka pada Februari 2022, iaitu meningkat 16.8 peratus kepada RM102.3 bilion, tahun ke tahun.

“Selari dengan peningkatan eksport, import meningkat 18.4 peratus daripada RM69.7 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM82.5 bilion.

“Saya percaya dengan polisi dan dasar yang sistematik dan kukuh, ekonomi akan terus berkembang dan negara juga akan makin pulih dan membangun.

“Yang penting ialah semua pihak saling bantu bekerjasama untuk membangunkan ekonomi negara,” katanya.