Hotel Lima Bintang Pertama di Papar Dijangka Beroperasi Disember 2027

Hotel Lima Bintang Pertama di Papar Dijangka Beroperasi Disember 2027

0
SHARE

PAPAR: Hotel utama InterContinental Sabah Kota Kinabalu Resort di Melinsung disasarkan mula beroperasi pada Disember 2027, manakala keseluruhan pusat peranginan itu dijangka siap pada 2028.

Ahli Parlimen Papar merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata projek yang bakal menjadi hotel bertaraf lima bintang pertama di daerah itu mencatat kemajuan pembinaan keseluruhan sekitar 34.1 peratus setakat September 2026. Pembinaan hotel utamanya pula mencapai sekitar 47.7 peratus.

Beliau berkata, projek oleh Sinyi Group dari Taiwan itu melibatkan pelaburan sekitar RM1 bilion, dengan IHG Hotels & Resorts sebagai rakan pengendali.

Pusat peranginan yang dibangunkan di kawasan seluas lebih 80 ekar itu dirancang mempunyai 418 bilik dan unit penginapan serta dijangka membuka kira-kira 700 peluang pekerjaan baharu apabila siap.

“Harapan saya sejak awal ialah pelaburan ini memberi manfaat yang melangkaui pembangunan sebuah pusat peranginan. Ia perlu membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan dan membawa limpahan ekonomi kepada pengusaha makanan, pengangkutan, pembekalan serta perkhidmatan pelancongan di Papar,” katanya dalam kenyataan di Facebook, semalam.

Armizan berkata demikian selepas meninjau tapak projek bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Kawang, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar, dan pemimpin setempat. Mereka turut menerima taklimat kemajuan pembinaan daripada pihak pemaju.

Menurutnya, Sinyi Group memilih Kampung Melinsung selepas meneliti beberapa lokasi bagi pelaburan berkenaan. Majlis pecah tanah projek itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pada 20 November 2023.

“Saya akan terus mengikuti kemajuan projek ini dan menyuarakan kepentingan masyarakat setempat dalam pelaksanaannya,” katanya.