KOTA KINABALU: Usahawan Sabah kini mempunyai satu lagi platform untuk memperluas jaringan, berkongsi ilmu dan meneroka peluang pasaran menerusi pelancaran Business Community App yang turut membuka akses kepada komuniti perniagaan dari seluruh Malaysia dan luar negara.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, penggunaan teknologi membolehkan usahawan membina hubungan perniagaan tanpa dibatasi lokasi.
Menurutnya, seorang usahawan di Kota Kinabalu misalnya berpotensi berhubung dengan pembekal di Kuala Lumpur, berkongsi pengalaman dengan usahawan di Sarawak atau meneroka peluang perniagaan di peringkat antarabangsa.
“Hubungan yang terjalin melalui aplikasi ini mungkin akhirnya membawa kepada satu jualan, satu kerjasama ataupun satu idea yang membantu sesebuah perniagaan berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Business Community App di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Isnin.
Dr Joachim berkata, dunia perniagaan ketika ini berdepan pelbagai cabaran termasuk pengurusan aliran tunai, kesesuaian produk dengan pasaran, perancangan kewangan serta keperluan menyesuaikan perniagaan dengan perkembangan teknologi digital.
Katanya, walaupun sesebuah aplikasi tidak mampu menyelesaikan semua cabaran yang dihadapi usahawan, pembentukan komuniti perniagaan yang kukuh mampu membantu mereka mendapatkan ilmu, jaringan serta peluang pada masa yang tepat.
“Komuniti yang kukuh boleh membantu usahawan mendapatkan pengetahuan, membina hubungan dan mengenal pasti peluang ketika mereka memerlukannya,” katanya.
Business Community App menyediakan beberapa kemudahan kepada ahli, antaranya Business Profile Card untuk mempamerkan syarikat, produk dan perkhidmatan masing-masing.
Platform itu turut membolehkan ahli mengikuti program masterclass yang ditawarkan oleh Sabah Entrepreneurs Transformation (SET) dan G & A Group bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran perniagaan.
Selain itu, ruangan Members Group disediakan bagi membolehkan ahli bertukar pandangan, mempromosikan produk serta membina hubungan dengan bakal pelanggan dan rakan perniagaan.
Dr Joachim berkata, walaupun inisiatif berkenaan bermula di Sabah, potensinya tidak terhad kepada negeri ini kerana platform itu dibuka kepada ahli dari seluruh Malaysia dan luar negara.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan platform itu akhirnya bergantung kepada tahap penyertaan aktif komuniti perniagaan sendiri.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan ahli menggunakan platform berkenaan untuk memperkenalkan perniagaan masing-masing, bertanya soalan, berkongsi pengalaman serta saling memberikan sokongan.
Dr Joachim turut menyambut baik visi Business Community App yang berteraskan empat elemen utama iaitu Connect, Learn, Collaborate and Grow atau menghubungkan, belajar, bekerjasama dan berkembang.
Beliau berharap platform berkenaan dapat membantu melahirkan komuniti usahawan yang lebih kukuh serta membolehkan mereka membawa peluang dan potensi perniagaan dari Sabah ke peringkat global.
Pada majlis itu, Dr Joachim turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada SET, G & A Group serta semua pihak yang terbabit dalam merealisasikan pembangunan Business Community App.
Turut hadir pengasas dan Presiden Sabah Entrepreneurs Transformation serta pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif G & A Group, Dato’ George Lim, bersama pemimpin perniagaan, usahawan dan para jemputan.






