Konsert Israel Houghton: Kebimbangan Keselamatan Perlu Diurus Sewajarnya- Salleh

Konsert Israel Houghton: Kebimbangan Keselamatan Perlu Diurus Sewajarnya- Salleh

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kebimbangan keselamatan berhubung cadangan penganjuran konsert penyanyi gospel Israel Houghton di daerah ini perlu ditangani menerusi langkah keselamatan sewajarnya dan tidak seharusnya secara automatik menjadi penghalang kepada penganjurannya.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, perkara utama yang perlu dinilai adalah sama ada kebimbangan berkenaan dapat diurus dengan baik melalui pengaturan keselamatan yang bersesuaian.

“Kebimbangan keselamatan tidak seharusnya secara automatik bermakna konsert Israel Houghton yang dicadangkan di Kota Kinabalu tidak boleh diteruskan.

“Persoalan utama ialah sama ada kebimbangan tersebut dapat diurus dengan sewajarnya menerusi langkah dan pengaturan keselamatan yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan.

Salleh berkata, kebimbangan yang dibangkitkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun perlu dipandang serius memandangkan pihak polis berada pada kedudukan terbaik untuk menilai potensi risiko terhadap ketenteraman awam serta mengesyorkan langkah berjaga-jaga yang diperlukan.

Bagaimanapun, katanya, semua faktor berkaitan perlu dipertimbangkan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Beliau berkata, Israel Houghton merupakan penyanyi gospel yang mempunyai pengikut dalam kalangan komuniti Kristian, termasuk di Sabah.

Pada masa sama, Salleh menegaskan Sabah sejak sekian lama dikenali dengan toleransi beragama dan kehidupan bersama secara aman dalam kalangan masyarakatnya yang pelbagai.

“Ini adalah tradisi yang wajar terus dipelihara.

“Sekiranya kebimbangan keselamatan dapat diurus secara munasabah, penekanan seharusnya diberikan kepada usaha memastikan konsert berkenaan berlangsung secara bertanggungjawab dan aman, bukannya menghalangnya daripada diadakan sama sekali,” katanya.