SEPANG: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan kerana menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, akan dirujuk ke hospital pakar untuk pemeriksaan psikiatri dalam masa terdekat ini lapor Harian Metro.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati tindakan remaja itu dipercayai akibat fikiran terganggu.
“Tiada sebarang motif dan dia (suspek) akan dirujuk ke hospital pakar untuk pemeriksaan psikiatri.
“Remaja itu akan dibebaskan dengan ikat jamin polis selepas tempoh remannya tamat (hari ini) sementara kertas siasatan dilengkapkan,” katanya ketika dihubungi.
Perintah reman dua hari bermula Jumaat terhadap remaja itu dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan di Mahkamah Majistret Sepang dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Khamis lalu, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan kerana dipercayai menyamar sebagai pegawai perubatan selama seminggu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, mengesahkan remaja itu ditahan jam 9 pagi di lobi HSIS dekat sini.
Polis turut merampas sehelai baju scrub, seluar scrub dan lanyard hak milik hospital yang digunakan oleh remaja berkenaan.
Siasatan awal polis mendapati suspek menceroboh dewan bedah hospital dan mengaku sebagai pegawai perubatan serta mahu membantu menjalankan pembedahan.