KUCHING: Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) melakar sejarah apabila buat julung kalinya berlangsung di Sarawak, menyaksikan Mimifly muncul antara penerima terbesar dengan lima trofi pada malam kemuncak di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), baru-baru ini.
Edisi Jubli Perak AIM itu menghimpunkan barisan bintang, penggiat industri serta bakat baharu muzik tanah air, selain turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Mimifly meraih lima trofi menerusi Video Muzik Terbaik dan Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik bagi “Temberang”, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu menerusi “Nara”, serta Lagu Perayaan Terbaik dan Anugerah Dalam Talian – Lagu Dengan Hasilan Tertinggi Di TikTok menerusi “Serumpun”.
Datuk Seri Siti Nurhaliza pula mencatat empat kemenangan termasuk Vokal Wanita Terbaik menerusi “Kesuma” serta Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi “Pesanan Buat Diri”.
Beliau turut memenangi kategori Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik menerusi “Cenderamaya”.
Aisha Retno membawa pulang tiga anugerah menerusi Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik bagi [RE.HAB], selain Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi “O.R.B.I.T”.
AIM25 turut mencipta detik penting menerusi pengenalan kategori Lagu Borneo Terbaik yang dimenangi Mawat menerusi “Dayang Bintang”, menjadikannya penerima sulung kategori berkenaan.
Kemenangan penyanyi asal Sarawak itu lebih bermakna apabila dicatat pada edisi pertama AIM yang berlangsung di negeri berkenaan.
Malam berkenaan turut menyaksikan Ella menerima Anugerah Sri Wirama sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan perjalanan panjang beliau dalam industri muzik Malaysia.
Antara pemenang lain ialah Alpha bagi Artis Baru Terbaik menerusi “Mona Lisa (Bang Bang)”, Arddley Nicholas bagi Vokal Lelaki Terbaik menerusi “Sandiwara Cinta”, Inteam bagi Vokal Kumpulan Terbaik dan Sekumpulan Orang Gila (SOG) bersama Amir Masdi bagi Kugiran Terbaik.
Hael Husaini dan Nadeera memenangi Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik menerusi “Peluk”, manakala Faizal Tahir meraih Lagu Rock Terbaik menerusi “Bila Sampai Waktu” dan Yonnyboii bersama Malique memenangi Lagu Rap/Hip Hop Terbaik menerusi “Tanya Tuhan”.
Marsha Milan pula meraih Lagu Etnik Terbaik menerusi “Pelangi Pasti”, manakala Mc Syze dan Noh Salleh memenangi Lagu Perpaduan Terbaik menerusi “Matahari Malaya”.
Malam kemuncak yang dikendalikan Awal Ashaari, Scha Alyahya dan personaliti TVS, Sheera Abang Mansur itu turut dimeriahkan persembahan antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Adira Suhaimi bersama Anggrek, Akim Ahmad, Alena Murang, Marsha Milan, Hael Husaini, Mimifly, Hujan, Estranged dan Fajar Noor.
Sebagai penyiar rasmi dan penganjur bersama, TVS menyiarkan AIM25 secara langsung menerusi TVS Saluran 122 dan aplikasi TVS Inspire.
Siaran Malam Kemuncak dan Karpet Merah AIM25, termasuk kandungan promosi menerusi media sosial TVS, merekodkan sebanyak 24.5 juta tontonan dan interaksi di seluruh platform TVS.
Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Tuan Haji Kushairi Abang berkata, penganjuran AIM25 di Sarawak menjadi detik penting dalam usaha mendekatkan pencapaian industri muzik tanah air kepada penonton di seluruh negara.
“Kami melihat penganjuran AIM25 di Sarawak sebagai detik penting buat TVS untuk mendekatkan kemeriahan dan pencapaian industri muzik tanah air kepada penonton di seluruh negara, di samping mengetengahkan bakat serta karya tempatan, khususnya dari Sarawak dan Borneo, ke pentas nasional.
“Sebagai penyiar rasmi, kami berharap penganjuran AIM25 di Sarawak menjadi permulaan kepada lebih banyak kerjasama di antara TVS dan industri muzik, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk bakat dan karya tempatan mendapat perhatian di peringkat nasional,” katanya.
Malam Kemuncak AIM25 turut mencatat tempoh siaran majlis penganugerahan trofi terpanjang dalam sejarah AIM iaitu kira-kira empat jam, tidak termasuk Karpet Merah selama satu jam 30 minit.
Bagi penonton yang terlepas siaran berkenaan, TVS menyiarkan semula malam kemuncak AIM25 pada 2 Oktober, jam 11 malam dan 4 Oktober, jam 7.30 pagi menerusi TVS Saluran 122 dan platform TVS Inspire.






