Guru Parah, Tiga Lagi Pelajar Cedera Dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Sapi...

Guru Parah, Tiga Lagi Pelajar Cedera Dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Sapi Nangoh

0
SHARE

BELURAN: Seorang guru wanita cedera parah manakala tiga pelajar perempuan mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Toyota Hilux di Jalan Pamol Sapi Nangoh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, guru berusia 25 tahun berkenaan memandu Perodua Aruz bersama tiga pelajar terbabit sebelum kenderaan mereka terlibat dalam kemalangan dengan Toyota Hilux yang dinaiki empat individu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, PPgB NurAzlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.23 tengah hari.

Katanya, sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera dari BBP Beluran digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 104 kilometer dan tiba pada jam 1.58 petang.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Perodua Aruz dengan keseluruhan lapan mangsa.

“Pemandu Perodua Aruz yang juga seorang guru wanita berusia 25 tahun mengalami kecederaan parah, manakala tiga penumpangnya yang merupakan pelajar perempuan mengalami kecederaan ringan.

“Empat mangsa yang menaiki Toyota Hilux pula dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan tidak memerlukan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa yang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Nangoh untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, tiada operasi menyelamat dijalankan oleh pasukan bomba berikutan semua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota penyelamat.

“Pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan dan mendapatkan maklumat berkaitan kejadian sebelum memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal,” katanya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.07 petang.