Ewon Bangkitkan Risiko Keselamatan Kehadiran Pelarian, Pendatang Asing Filipina di Sabah

Ewon Bangkitkan Risiko Keselamatan Kehadiran Pelarian, Pendatang Asing Filipina di Sabah

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick meminta Kementerian Pertahanan menjelaskan sama ada keberadaan generasi pelarian dan pendatang asing dari Filipina di Sabah diiktiraf sebagai risiko keselamatan dalam negara, khususnya mengambil kira kedudukan negeri itu yang berhampiran wilayah Filipina.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kegiatan risikan dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan wujudnya propaganda dalam kalangan generasi pelarian yang mempunyai kaitan dengan tuntutan pihak tertentu dari Filipina terhadap Sabah.

“Dengan kedudukan Sabah yang dekat dengan kepulauan atau wilayah Filipina, sudah tentu terdapat pergerakan manusia antara kedua-dua wilayah.

“Dewan ini juga maklum mengenai kebanjiran generasi pelarian dan pendatang asing dari Filipina sejak dahulu. Adakah Kementerian Pertahanan mengiktiraf keadaan ini sebagai satu bentuk risiko keselamatan dalam negara?” katanya.

Beliau mengemukakan soalan tambahan itu pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, pada Khamis, susulan jawapan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari mengenai usaha Kerajaan Persekutuan mengimbangi kehadiran dan pembangunan fasiliti tentera Amerika Syarikat serta Filipina di Pulau Balabac.

Ewon turut meminta penjelasan sama ada dapatan risikan berkaitan kemungkinan propaganda tuntutan Sabah boleh dikongsikan dengan wakil rakyat atau pihak berkaitan di negeri itu.

“Melalui pendekatan whole of society dan whole of government, adakah kegiatan risikan dijalankan mengenai propaganda dalam kalangan generasi pelarian dari Filipina yang mungkin berkait dengan tuntutan beberapa pihak dari negara itu?

“Jika kegiatan risikan tersebut dijalankan, adakah kementerian bersedia berkongsi dapatan dengan wakil rakyat Sabah atau pihak berkaitan di Sabah?” katanya.

Menjawab persoalan itu, Adly berkata, ancaman keselamatan negara sentiasa dinilai daripada pelbagai aspek, termasuk ancaman tradisional dan bukan tradisional yang melibatkan aktiviti penyeludupan serta pemerdagangan manusia.

Beliau berkata, usaha menjaga keselamatan Sabah bukan hanya bergantung kepada kelengkapan aset pertahanan, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh antara kementerian, agensi kerajaan dan masyarakat.

Menurutnya, pendekatan whole of government dan whole of society penting bagi memastikan penyelarasan berkesan dalam mengenal pasti serta menangani ancaman keselamatan.

Adly turut merujuk penyelarasan keselamatan di Pulau Banggi yang melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai contoh kerjasama antara agensi berkaitan.

“Kita berusaha sebaik mungkin supaya bukan sahaja wakil rakyat, tetapi seluruh rakyat Sabah, termasuk penduduk di kawasan kepulauan, memahami kesan tindakan mereka serta ancamannya terhadap Sabah dan Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Beliau menegaskan keselamatan dan kedaulatan negara kekal menjadi keutamaan kerajaan.