Belanjawan2027: Gaji Minimum Naik RM2,000 Mulai Jun 2027 – PMX

Belanjawan2027: Gaji Minimum Naik RM2,000 Mulai Jun 2027 – PMX

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, yang akan memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha kerajaan merapatkan jurang antara produktiviti dan upah pekerja, selain menangani tekanan kos sara hidup akibat peningkatan harga barangan yang tidak seiring dengan pertumbuhan pendapatan rakyat.

Bagaimanapun, katanya, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu bagi memberi ruang kepada penyesuaian model perniagaan.

“Beban kos sara hidup berbangkit kerana pendapatan rakyat tidak meningkat sejajar dengan kenaikan harga barangan. Pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia masih rendah pada kadar 33.9 peratus.

“Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000. Kadar ini berkuat kuasa mulai Jun 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima Tahun 2027 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut memperkenalkan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan menetapkan gaji minimum RM2,500 sebulan sebagai permulaan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan.

Menurutnya, penetapan itu penting memandangkan kenaikan gaji minimum sedia ada hanya meningkatkan lantai pendapatan pekerja, sedangkan upah pekerja mahir masih tidak setimpal dengan tahap kelayakan mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan, sekali gus memberi manfaat kepada 230,000 pekerja.

Anwar turut menyeru majikan sektor swasta supaya mengikuti langkah kerajaan, GLIC dan GLC serta beberapa majikan utama dalam sektor perbankan dan minyak serta gas yang telah menetapkan kadar gaji lebih wajar kepada pekerja.

Sementara itu, bagi menutup ruang penggajian pekerja asing tanpa izin, beliau mengumumkan bahawa syarikat selain PMKS hanya dibenarkan menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji sekiranya pembayaran dibuat melalui akaun bank mengikut saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955.

Bagaimanapun, syarat pembayaran melalui akaun bank itu tidak terpakai kepada tuntutan potongan cukai bagi perbelanjaan lain.