KOTA KINABALU: Dua pelajar daripada kumpulan sulung Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau bakal melangkah ke alam pengajian tinggi selepas terpilih menerima tajaan pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu 2026.
Audra Chyra Fredolin dan Mohammad Shazzif Putra Mohammad Razif merupakan antara empat pelajar MRSM Ranau yang menerima tajaan berkenaan, dua tahun selepas institusi itu mula menerima kemasukan pelajar pada Mac 2024.
Audra yang berasal dari Kampung Wangkod Gontung, Tamparuli, bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Data di Universiti Malaya, manakala Mohammad Shazzif dari Kampung Dumpiring, Kundasang, akan mengikuti pengajian Kejuruteraan Petroleum di Universiti Teknologi PETRONAS.
Menurut Audra, kemudahan makmal dan pendekatan pembelajaran secara amali di MRSM Ranau banyak membantu menyemarakkan minatnya terhadap bidang sains dan teknologi.
Pengalamannya sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar turut membentuk disiplin, keyakinan diri serta keupayaan mengimbangi tuntutan akademik dengan tanggungjawab kepimpinan.
“Dengan latar belakang Gunung Kinabalu dan udara Ranau yang nyaman, tempat ini cukup istimewa untuk menimba ilmu. MRSM Ranau memberikan kami ruang untuk belajar dan berkembang,” katanya dalam kenyataan PETRONAS pada Selasa.
Sementara itu, Mohammad Shazzif berkata, menjadi sebahagian daripada kumpulan pelajar sulung MRSM Ranau merupakan pengalaman mencabar, khususnya dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran baharu.
“Pada mulanya, saya berasa gementar kerana menjadi sebahagian daripada kumpulan pelajar sulung MRSM Ranau. Saya juga perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan menyedari bahawa setiap pelajar di sini mempunyai kebolehan serta semangat yang tinggi untuk berjaya,” katanya.
Mohammad Shazzif yang pada awalnya bercita-cita menjadi guru berkata, pendedahan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta dorongan guru dan rakan-rakan mendorongnya memilih bidang kejuruteraan petroleum.
Katanya, bimbingan guru Kimia, kelas tambahan, program akademik dan perbincangan berkumpulan bukan sahaja membantu meningkatkan penguasaan pelajaran, malah membentuk dirinya menjadi lebih terbuka, berani bergaul dan yakin terhadap kemampuan sendiri.
MRSM Ranau dibangunkan oleh PETRONAS dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memperluas akses pendidikan berkualiti serta memupuk minat pelajar Sabah dalam bidang STEM.
Kampus seluas 26,000 meter persegi itu mampu menampung sehingga 450 pelajar dan dilengkapi kemudahan akademik, pusat sumber, asrama, dewan makan, dewan serba guna serta kemudahan sukan.
Audra dan Mohammad Shazzif merupakan antara lebih 40,000 pelajar di seluruh negara yang menerima manfaat daripada program tajaan pendidikan PETRONAS sejak 1975.






