KUCHING: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak memperkukuh hubungan politik serta persefahaman antara kedua-dua parti dalam usaha memperjuangkan kepentingan bersama Sabah dan Sarawak.
Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah, Asmey Ruddy berkata, usaha itu dizahirkan menerusi pertemuan kepimpinan kedua-dua parti di Dewan Undangan Negeri Sarawak, pada Rabu.
Katanya, pertemuan berkenaan membuka ruang kerjasama lebih luas, khususnya dalam memperkukuh pembangunan wilayah, perkongsian pengalaman serta memperjuangkan aspirasi rakyat kedua-dua negeri.
“Hubungan antara kedua-dua parti perlu diterjemahkan kepada komunikasi berterusan, persefahaman yang kukuh dan usaha bersama yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Semangat Borneo juga perlu diterjemahkan melalui tindakan berteraskan kepentingan rakyat tanpa mengetepikan keunikan, hak dan keutamaan setiap negeri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Asmey berkata, pertemuan itu melibatkan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Azrul Ibrahim bersama Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, sebelum diteruskan dengan sesi bersama rombongan Pemuda kedua-dua parti.
Menurutnya, Sabah dan Sarawak mempunyai kepentingan bersama dalam pelbagai sektor termasuk pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan, ekonomi luar bandar serta pendigitalan.
Sehubungan itu, hubungan politik yang terjalin perlu dimanfaatkan sebagai platform perkongsian pendekatan dan pengalaman bagi menangani cabaran pembangunan di kedua-dua negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata, pertemuan Pemuda Gagasan Rakyat dan Pemuda PBB Sarawak turut membuka peluang kerjasama dalam pembangunan kepimpinan, keusahawanan, kemahiran, sukan, kebudayaan serta ekonomi digital.
Katanya, antara inisiatif yang boleh diteroka termasuk dialog kepimpinan berkala, program pertukaran belia, kerjasama ekonomi dan keusahawanan serta program kemasyarakatan bersama.
“Anak muda Sabah dan Sarawak bukan sekadar pewaris masa depan Borneo, tetapi mempunyai peranan penting dalam mencorakkan masa depan itu mulai hari ini,” katanya.
Asmey berharap pertemuan berkenaan menjadi titik permulaan kepada hubungan lebih tersusun dan kerjasama berterusan antara kedua-dua parti demi kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.






