Lelaki Parah, Dua Lagi Cedera, Avanza Dinaiki Terbabas dan Terbalik di Kg...

Lelaki Parah, Dua Lagi Cedera, Avanza Dinaiki Terbabas dan Terbalik di Kg Minintod

0
SHARE

PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 21 tahun cedera parah, manakala dua lagi cedera ringan selepas kenderaan Toyota Avanza dinaiki mereka terbabas sendiri sebelum terbalik di Kampung Minintod, di sini, petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dua mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan, manakala seorang lagi berjaya keluar sendiri sebelum pasukan bomba tiba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.07 petang sebelum sepasukan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya pasukan bomba pada jam 5.14 petang, didapati sebuah Toyota Avanza terbabas sendiri lalu terbalik dengan tiga individu terlibat dalam kemalangan berkenaan.

“Seorang mangsa berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan bomba, manakala dua lagi tersepit di dalam kenderaan dan memerlukan bantuan untuk dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan kerja menyelamat dengan mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit sebelum mengangkat mereka menggunakan pengusung.

“Kesemua mangsa diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah adalah lelaki berusia 21 tahun, manakala pemandu berusia 56 tahun dan seorang penumpang wanita berusia 20 tahun mengalami kecederaan ringan.

Operasi yang membabitkan lapan anggota BBP Penampang bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.50 petang selepas keadaan disahkan selamat.