KUALA LUMPUR: Pelakon Areef Amran mengingatkan penonton supaya tidak terlalu mempercayai karakter Dr. Zack yang dilakonkannya dalam drama bersiri Menantu Tanpa Reda, kerana watak itu sering membuat keputusan melulu terutama membabitkan soal cinta, keluarga dan tanggungjawab.
Menurut Areef, di sebalik perwatakan Dr. Zack yang ceria, bersahaja dan kelihatan berani, karakter itu sebenarnya menyimpan pelbagai konflik dalaman serta ketakutan untuk mengecewakan keluarganya.
“Pada awalnya, kita nampak Zack seorang yang happy-go-lucky, sempoi dan suka bermain-main. Tetapi apabila cerita semakin berkembang, kita mula nampak sisi lain dirinya.
“Dia juga ada masalah, ego dan tidak arif hukum-hakam agama tentang perkahwinan dan poligami.
“Sebab itu saya cuba membawakan karakter Zack bukan sekadar watak yang dibenci, tetapi seseorang yang penonton boleh faham mengapa dia menjadi begitu, walaupun tidak semestinya bersetuju dengan tindakannya,” katanya.
Areef berkata, Dr. Zack yang merupakan doktor pelatih di hospital milik ibunya, Puan Sri Salmiah, turut bergelut dengan proses kematangan diri selepas berdepan situasi menjadi suami kepada dua wanita dalam sekelip mata.
“Walaupun luarannya nampak berani, sebenarnya dia sangat takut untuk mengecewakan mama dan keluarganya.
“Zack bukannya tidak tahu apa yang betul. Cuma kadangkala dia tidak cukup berani untuk melakukan apa yang dirasakan betul,” jelasnya.
Bagi memastikan watak itu dibawakan dengan berkesan, Areef turut mendapatkan bimbingan guru lakonan, mengkaji karakter menerusi filem serta mendalami personaliti Dr. Zack.
Dalam pada itu, hubungan Dr. Zack dengan Suzila menjadi antara tarikan utama drama berkenaan apabila percintaan mereka diuji dengan kehadiran Melissa, wanita pilihan ibunya, selain masalah kesihatan serius yang dihadapi Suzila akibat kanser tulang.
Areef turut mengakui konflik antara Dr. Zack dengan Pak Manap antara babak paling menarik, khususnya apabila wataknya sering berdepan dengan senapang setiap kali bertemu bapa mentuanya itu.
“Di sebalik sikap Pak Manap yang garang, sebenarnya dia seorang ayah yang sangat menyayangi anaknya,” katanya.
Mengulas reaksi penonton terhadap karakter tersebut, Areef berharap mereka tidak terlalu cepat menghukum Dr. Zack, namun pada masa sama tidak menjadikan kelemahannya sebagai alasan untuk membenarkan setiap kesilapan.
“Satu lagi, jangan percaya sangat dengan Zack ini. Nanti korang yang sakit hati!” katanya berseloroh.
Drama Menantu Tanpa Reda arahan Uchee Fukada dan Ejump Mohd itu turut dibintangi Amar Bahrin, Aliza Shahdan, Sweet Qismina, Hanna Aqeela dan Yana Samsudin.
Drama berkenaan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 malam di Astro Prima dan boleh ditonton menerusi aplikasi sooka.






