BEAUFORT: Dua lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dijangka akan diaktifkan di daerah ini sekiranya paras air terus naik dan jumlah mangsa pula terus meningkat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, pengaktifan PPS itu juga akan dilihat menerusi perkembangan cuaca dari masa ke semasa.
“Jika kita lihat situasi cuaca sebelum ini, walaupun jangkaan hujan berterusan sehingga esok, tapi kita meramalkan ia masih berterusan.
“Sebab keadaan cuaca sekarang pun masih hujan dan belum pasti lagi ia akan berakhir bila. Sudah pasti kita akan bersiap siaga daripada masa ke semasa.
“Justeru, kita sudah bersiap sedia untuk mengaktifkan PPS di Dewan Datuk Dun Banir dan Dewan Pa Musa sekiranya keperluan memerlukan barulah dua PPS ini akan diaktifkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa terjejas banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Dewan Selain di sini petang, semalam.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan turut mengingatkan penduduk yang terjejas banjir untuk sentiasa berwaspada, terutama terhadap keselamatan anak-anak.
“Jangan biarkan mereka bermain air banjir kerana selain daripada risiko kesihatan, kita juga harus sedar bahawa banjir turut membawa ancaman binatang buas seperti buaya dan ular yang boleh membahayakan nyawa.
“Saya faham bahawa banyak keluarga yang terpaksa melalui saat-saat sukar ini, tetapi kita harus lebih berhati-hati agar tidak ada lagi kemalangan yang tidak diingini berlaku” katanya.
Sehingga jam 8 malam tadi, seramai 149 mangsa terjejas banjir di daerah ini telah dipindahkan ke PPK Dewan Selagon.