Anwar Terima Sokongan Kuat Dari Sabah Berikutan Prestasi, Komitmen Baik Bantu Negeri...

Anwar Terima Sokongan Kuat Dari Sabah Berikutan Prestasi, Komitmen Baik Bantu Negeri – Mustapha

0
SHARE

SEPANGGAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sokongan yang kuat dari Sabah berikutan prestasi dan komitmen yang sangat baik dalam membantu negeri ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia juga merupakan satu petanda baik kepada Sabah apabila Perdana Menteri turut membantu negeri ini meningkatkan sumber ekonomi.

“Berdasarkan kajian yang telah dibuat dan sokongan untuk Perdana Menteri diseluruh negara, yang paling tinggi adalah di Sabah.

“Saya fikir ini adalah satu petanda baik bahawa negeri Sabah amat menghargai komitmen yang dibuat oleh Perdana Menteri dalam membantu negeri Sabah bagi meningkatkan ekonomi kita. 

“Terutama yang selalu saya sebut, selama ini belum ada Perdana Menteri yang begitu tegas untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 MPN PKR Sabah anjuran bersama DUN Inanam dan Parlimen Sepanggar di Dewan Masyarakat Manggatal di sini baru-baru ini.

Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, komitmen Perdana Menteri yang konsisten membantu Sabah dan Sarawak itu juga membuktikan beliau amat menghormati dalam melaksanakan MA63.

“Jadi saya fikir ini yang telah meningkatkan imej beliau di negeri Sabah ini dan kalau beliau hadir di mana-mana pun di negeri Sabah ini kita lihat sambutan cukup baik kepada Perdana Menteri,” katanya.