KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menjelaskan bahawa projek pembangunan di Sabah dan Sarawak yang sebelum ini dilaporkan dibatalkan sebenarnya hanya ditangguhkan pelaksanaannya berikutan kekangan peruntukan kewangan.
Beliau berkata, projek terbabit tidak dibatalkan, sebaliknya hanya surat berkaitan pelaksanaannya ditangguhkan kerana peruntukan yang tersedia tidak mencukupi.
“Sebenarnya peruntukan itu tidak dibatalkan. Apa yang berlaku hanya surat untuk pelaksanaan itu ditangguhkan disebabkan bajet tidak mencukupi.
“Kita tidak batalkan. Mungkin maklumat yang diterima oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah projek itu dibatalkan, tetapi sebenarnya tidak dibatalkan, hanya ditangguhkan,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan TPM, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai sebahagian projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak yang diluluskan bagi 2026 telah dibatalkan susulan kegagalan penyaluran dana.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Kinabalu di sini, pada Rabu.
Mustapha berkata, kerajaan turut menyediakan tambahan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi tahun ini yang berpotensi membolehkan beberapa projek tertangguh dimulakan semula.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan projek berkenaan masih tertakluk kepada kedudukan kewangan dan peruntukan yang diluluskan.
“Untuk tahun ini, bajet sudah ditambah sebanyak RM500 juta. Jadi mungkin ada beberapa projek yang akan dapat dimulakan.
“Tetapi masalah kewangan ini kita tidak boleh melebihi bajet. Apa-apa pelaksanaan mesti mengikut peruntukan yang telah diluluskan.
“Kalau bajet tidak mencukupi, kita perlu memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan,” katanya.
Sehubungan itu, Mustapha memberi jaminan bahawa projek pembangunan yang dirancang untuk Sabah dan Sarawak masih diteruskan, meskipun terdapat penangguhan dari segi pelaksanaan.
“Saya ingin memberi jaminan kepada rakyat Sabah dan Sarawak bahawa projek-projek itu tidak dibatalkan, hanya ditangguhkan,” tegasnya.
Terdahulu, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk luar bandar di kedua-dua negeri terjejas apabila projek pembangunan yang dinantikan tidak dapat dilaksanakan seperti dirancang.
Ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Isnin, beliau memaklumkan bahawa terdapat projek yang diarahkan supaya dibatalkan meskipun telah mendapat kelulusan peruntukan.
“Terdapat projek-projek tahun 2026 yang telah diarahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian untuk dibatalkan, sedangkan peruntukannya telah ada tetapi tidak ada penyaluran dana.
“Yang jadi mangsa adalah Sabah dan Sarawak. Begitu juga masyarakat kampung lain di Semenanjung. Jadi tidak sepatutnya itu berlaku,” katanya.






