Kontraktor Pan Borneo Sabah Berdepan Denda Jika Gagal Penuhi Sasaran

Kontraktor Pan Borneo Sabah Berdepan Denda Jika Gagal Penuhi Sasaran

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah berdepan tindakan tegas termasuk pengenaan denda sekiranya gagal memenuhi obligasi kontrak dan sasaran pelaksanaan projek yang ditetapkan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan, tiada kompromi terhadap prestasi kontraktor yang gagal mencapai sasaran, dengan tindakan kontraktual termasuk penguatkuasaan Denda Ganti Rugi Ditetapkan (Liquidated Ascertained Damages – LAD) akan diambil mengikut peruntukan kontrak.

Ketegasan itu susulan kemajuan fizikal projek LPB Sabah Fasa 1A yang hanya mencapai 89.54 peratus berbanding 96.32 peratus mengikut jadual, sekali gus mencatatkan jurang sebanyak 6.78 mata peratusan.

Sehubungan itu, KKR mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bersama kontraktor berkaitan mengemukakan pelan pemulihan (recovery plan) yang realistik dan berkesan dengan segera bagi menangani kelewatan berkenaan.

Menurut KKR, pelan pemulihan itu perlu merangkumi langkah memperkukuh keupayaan pelaksanaan di tapak projek termasuk penambahan jentera, tenaga kerja serta waktu operasi bagi mempercepat kemajuan pembinaan.

“KKR menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap prestasi pelaksanaan projek yang tidak mencapai sasaran.

“Tindakan kontraktual yang tegas, termasuk penguatkuasaan Denda Ganti Rugi Ditetapkan (LAD), akan diambil sekiranya kontraktor gagal memenuhi obligasi dan sasaran yang ditetapkan mengikut peruntukan kontrak,” menurut kenyataan kementerian itu pada Rabu.

Komitmen berkenaan ditegaskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Bil. 10/2026 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KKR bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman.

Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Tetap Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, Datuk Khairus Masnan Abdul Khalid serta Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, Datuk Zul Hadi Ahmad.

Dalam pada itu, KKR turut mengambil serius penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) serta hasil siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pelaksanaan projek berkenaan.

Menurut kementerian itu, setiap kelemahan yang dikenal pasti akan ditangani melalui penambahbaikan segera khususnya dalam aspek pengurusan projek, pemantauan kemajuan kerja dan pematuhan tatakelola.

Pada masa sama, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran pelaksanaan termasuk isu ketersediaan tapak serta pengalihan utiliti.

KKR turut memberi jaminan bahawa setiap langkah pemulihan akan dipantau secara rapi bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual dengan mematuhi syarat kontrak serta tatakelola yang ditetapkan.

Usaha itu penting bagi memastikan rakyat Sabah dapat menikmati kemudahan infrastruktur jalan raya yang berkualiti, selamat dan mampu menyokong pembangunan sosioekonomi negeri.