KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah tidak akan berkompromi terhadap pengusaha dan pemandu kenderaan berat yang melanggar syarat lesen sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Pengerusinya, Senator Datuk Phoong Jin Zhe berkata, pihaknya akan merangka garis panduan khas bagi mempercepatkan proses siasatan dan tindakan terhadap pihak yang didapati melakukan pelanggaran.
Menurutnya, langkah itu diambil susulan beberapa insiden membabitkan kenderaan berat, termasuk tragedi dua beranak maut dihempap kontena di Sepanggar baru-baru ini.
“Kita tidak boleh membiarkan kelalaian pengusaha atau pemandu terus mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Garis panduan baharu ini akan mempercepatkan proses siasatan dan tindakan punitif ke atas pihak yang culas,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Anggota Lembaga LPKP Sabah, di sini.
Dalam perkembangan lain, Phoong berkata, cadangan penjajaran semula laluan BAS.MY Kota Kinabalu telah selesai dikaji dan dipersetujui secara dasar oleh pihak lembaga.
Bagaimanapun, pelaksanaannya masih memerlukan kelulusan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan berikutan perubahan kontrak perolehan serta implikasi kewangan.
“Perkara ini bukan bermakna kita tangguhkan, tetapi pelaksanaannya menuntut penyelarasan implikasi kewangan bersama kementerian terbabit terlebih dahulu,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan perkhidmatan BAS.MY Kota Kinabalu mencatatkan seramai 598,054 penumpang setakat Oktober 2026.
Sementara itu, seramai 1,106 pemandu bas sekolah, kereta sewa dan teksi disahkan layak menerima bantuan sekali bayar RM1,000 yang dijadualkan disampaikan pada 6 November depan.
Katanya, LPKP Sabah akan menghubungi penerima dalam masa terdekat bagi memaklumkan butiran lanjut mengenai penyampaian bantuan berkenaan.






