Joseph Kurup Selamat Dikebumikan Di Penampang

Joseph Kurup Selamat Dikebumikan Di Penampang

0
SHARE
Joseph
Sekitar pengebumian Pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), mendiang Joseph di The Empire Paradise Christian Memorial Park

PENAMPANG, SABAH – Pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), mendiang Tan Sri Joseph Kurup telah selamat dikebumikan di The Empire Paradise Christian Memorial Park sekitar jam 10 pagi, semalam

Jasad bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu dikebumikan di sini selepas dibawa dari Fook Lu Siew Coffin Supplies Sdn Bhd untuk tujuan sesi penghormatan terakhir.

Anak kepada mendiang yang juga merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup dalam satu sidang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak khususnya pemimpin negara dan juga Sabah.

“Saya mewakili keluarga mendiang merakam setinggi penghargaan kepada semua yang telah mengirimkan utusan takziah, meluangkan masa menziarah dan memberi penghormatan terakhir sehingga ke upacara pengebumian.

“Sokongan emosi serta kata-kata semangat yang dititipkan telah banyak membantu memberikan kekuatan kepada kami sekeluarga untuk menempuhi tempoh berduka.

“Sebagai anak jati Sabah, mendiang merupakan seorang pemimpin yang setia berkhidmat dan sanggup melakukan apa sahaja demi kebajikan dan kesejahteraan Sabah serta rakyatnya.

“Mendiang merupakan pemimpin setia kepada perjuangan dan sentiasa dikenali sebagai seorang yang meletakkan keutamaan dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat khususnya rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bertempat di Wisma Kinsabana selepas pengebumian mendiang Joseph, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Arthur yang juga merupakan Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata beliau akan meneruskan legasi bapanya dalam kepimpinannya sebagai Presiden PBRS.

“Legasi dan perjuangan mendiang akan disemat dalam jiwa ahli parti. Ia juga menjadi teras panduan untuk saya terus mengemudi dan memimpin parti demi kesejahteraan rakyat Sabah.

“Bagi kami sekeluarga, kami kehilangan seorang ayah yang amat disayangi, tiang seri yang telah banyak berkorban demi kesejahteraan keluarga.

“Mendiang abadi dalam kenangan kami sebagai seorang bapa yang mempunyai kepemimpinan tinggi, sentiasa bersemangat dalam melaksanakan apa-apa urusan, mempunyai daya ketahanan kuat apabila berhadapan tekanan dan insan berfikiran jauh,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Mendiang yang juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bersara daripada politik pada Januari tahun lalu selepas memegang jawatan Presiden PBRS sejak penubuhan parti terbabit.