KOTA KINABALU: Sektor penjagaan warga emas berpotensi muncul sebagai bidang kerjaya profesional yang mampu membuka peluang pekerjaan baharu kepada golongan belia Sabah, khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, potensi itu perlu dimanfaatkan menerusi latihan kemahiran, pembangunan tenaga kerja terlatih serta pengiktirafan terhadap profesion penjagaan.
Katanya, bidang berkenaan tidak seharusnya dilihat sekadar tanggungjawab sosial, sebaliknya sebagai kerjaya bermakna yang memerlukan kemahiran, pengetahuan, kesabaran dan sifat kasih sayang.
“Bidang ini wajar diberikan latihan serta pengiktirafan sebagai satu kerjaya bermakna yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada anak muda Sabah, termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Sokongan Penjagaan Sabah (PSPS) Gala VIVA! CareFest 2026 di ITCC Penampang, malam Jumaat.
Masidi berkata, perubahan struktur keluarga dan penghijrahan golongan muda ke bandar turut meningkatkan cabaran penjagaan warga emas, khususnya mereka yang tinggal di kampung.
Menurutnya, amalan tradisional masyarakat Sabah seperti mitatabang atau gotong-royong yang menekankan semangat saling membantu perlu diperkukuh melalui sistem penjagaan lebih profesional dan tersusun.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik usaha PSPS memperkasa latihan serta pengiktirafan kepada golongan penjaga, selain menegaskan kepentingan menjaga kebajikan mereka.
“Kerajaan Negeri berharap PSPS dapat menggabungkan nilai kemasyarakatan dengan pendekatan penjagaan profesional bagi memastikan warga emas terus menikmati kehidupan yang aktif, berdikari dan berkualiti,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan menyediakan dasar, latihan, perkhidmatan dan jaringan keselamatan sosial bagi memperkukuh sektor penjagaan warga emas dengan kerjasama keluarga serta komuniti.






