PENAMPANG: Kontinjen Sabah (A) mengungguli carta pungutan pingat Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12 Sabah 2026 dengan meraih 40 emas, 27 perak dan 17 gangsa, menjadikan keseluruhan 84 pingat.
Berdasarkan carta pungutan pingat, Sabah (A) mengatasi Sarawak yang menduduki tempat kedua dengan 31 emas, 32 perak dan 19 gangsa, manakala Davao City, Filipina berada di kedudukan ketiga dengan 16 emas, 19 perak dan 21 gangsa.
Kontinjen Sabah (B) pula menduduki tempat keempat dengan empat emas, lima perak dan 20 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan pungutan kedua-dua kontinjen Sabah sebanyak 113 pingat, termasuk 44 emas.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, temasya sukan serantau itu bukan sahaja menyaksikan persaingan penuh semangat, malah memperlihatkan nilai persahabatan, kesukanan dan kerjasama dalam kalangan atlet dari Brunei Darussalam, Filipina dan Malaysia.
“Kepada semua pemenang pingat, tahniah atas pencapaian anda. Kepada setiap atlet yang bertanding, berbanggalah dengan usaha yang telah dicurahkan dan penghormatan mewakili pasukan masing-masing.
“Saya berharap anda pulang dengan semangat baharu hasil pengalaman ini dan terus berazam untuk meningkatkan prestasi,” katanya ketika majlis penutupan rasmi temasya berkenaan di Dewan KDCA, di sini, hari ini.
Nizam turut menekankan bahawa semangat persahabatan merupakan tunjang utama penganjuran temasya berkenaan.
“Kita mungkin bersaing mewakili pasukan yang berbeza, namun kita berkongsi rasa hormat terhadap sukan dan antara satu sama lain.
“Semoga rasa hormat itu berterusan melangkaui arena pertandingan dan memperkukuh hubungan antara masyarakat kita,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pegawai teknikal, hakim pertandingan, jurulatih, sukarelawan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan temasya berkenaan.
Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12 Sabah 2026 secara rasmi melabuhkan tirainya hari ini.






