
KUCHING, SARAWAK – Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu malam ini selepas gabungan EMPAT (4) parti itu memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).
Abang Johari yang lengkap berpakaian baju Melayu hitam, mengangkat sumpah jawatannya di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri di sini.
Turut hadir isteri Taib, Toh Puan Ragad Kurdi Taib dan isteri Abang Johari, Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Ini merupakan kali kedua Abang Johari dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada PRN Sarawak kali ke-12 ini.
Kali pertama adalah pada 13 Januari 2017, sebagai menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Beliau mengetuai GPS, yang terdiri daripada EMPAT (4) parti tempatan iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Kemenangan GPS kali ini juga dianggap bersejarah berikutan buat pertama kali bertanding dengan logo sendiri berbanding sebelum ini menggunakan jenama Barisan Nasional (BN)
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan GPS yang diketuai Abang Johari telah memperolehi mandat rakyat negeri itu apabila berjaya memenangi 76 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
GPS telah diwakili PBB di 47 buah kerusi dengan SUPP bertanding di 18 kerusi, PRS (11) dan PDP (enam).
Pada PRN-12 Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 empat penjuru, 24 lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.
GPS meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) (73), Parti Sarawak Bersatu (PSB) (70), PKR (28), DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) (11), Parti Amanah Negara (Amanah) (lapan), Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) (lima) dan PAS (1).
Tiga puluh calon Bebas turut bertanding pada PRN ini.