AIM Dalam Landasan Terbaik Bantu Sahabat Usahawan

AIM Dalam Landasan Terbaik Bantu Sahabat Usahawan

0
SHARE
Pengurus Besar AIM Wilayah Sabah, Jahinin Siman...

KOTA KINABALU, SABAH – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Sabah, berada di landasan terbaik dalam membantu sahabat usahawan di negeri ini menerusi pelbagai penyaluran pembiayaan.

Pengurus Besar AIM Wilayah Sabah, Jahinin Siman berkata, berdasarkan pencapaian sehingga September tahun ini, AIM sudah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM235 juta kepada 44,029 sahabat usahawan.

Katanya, jumlah itu bersamaan purata RM26 juta setiap bulan dan menghampiri sasaran keseluruhan RM250 bagi tahun kewangan 2022

“Pencapaian itu juga menunjukkan peningkatan pembiayaan sebanyak RM155 juta berbanding tempoh sama tahun 2021 yang merekodkan hanya RM80 juta…

“Ini adalah usaha berterusan AIM dalam membantu menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada sahabat usahawan agar dapat terus menjana pendapatan mereka dan seterusnya meningkat kekuatan ekonomi negara,” katanya.

Jahinin berkata, prestasi perniagaan sahabat-sahabat usahawan AIM juga berjalan dengan baik dan ia terbukti dengan kadar kemampuan bayaran balik yang amat positif.

“Berdasarkan kepada rekod bayaran balik bagi suku ketiga tahun ini, ia mencecah 99.2 peratus berbanding hanya 97.5 peratus bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Jahinin berkata, walaupun jumlah pembiayaan sudah hampir mencapai sasaran namun pihaknya tidak akan berhenti dalam menyalurkan dana selagi diperlukan.

Katanya, peningkatan prestasi AIM Sabah juga turut disumbangkan oleh usaha untuk berkolaborasi dengan agensi kerajaan dan swasta, terutamanya dalam mewujudkan peluang perniagaan dan meningkatkan ilmu pengetahuan.

“AIM Sabah juga akan terus berusaha mewujudkan lagi peluang pasaran produk-produk sahabat usahawan dengan pembukaan tamu AIM di setiap daerah.

“Kita mohon kepada agensi kerajaan terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya memberi kerjasama dalam menjayakan hasrat satu daerah satu tamu AIM,” katanya.

Sementara itu, Jahinin berkata, sehingga September tahun ini, AIM Sabah sudah menyalurkan RM3.8 juta dana Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) kepada 9,139 sahabat usahawan.

Katanya, penerima adalah membabitkan mangsa yang ditimpa bencana seperti banjir dan kebakaran selain sakit kritikal serta bantuan anak untuk melanjutkan pelajaran