
XI’AN, CHINA – AirAsia X (AAX) secara rasminya meraikan penyambungan semula laluan Xi’an-Kuala Lumpur dengan penerbangan D7 347 yang berlepas pada 5 April lepas.
Xi’an merupakan laluan terus kelima ke China menjadikan AAX sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang menghubungkan ibu negeri Wilayah Shaanxi di China dengan ibu negara Malaysia.
Xi’an merupakan pasaran penting dalam rangkaian AAX di China. Sejak pelancaran pertamanya pada tahun 2014, AAX telah menerbangkan lebih dari sejuta tetamu melalui laluan ini, membuktikan kepentingannya dalam pengembangan rangkaian AAX.
Sejak laluan itu dilancarkan semula baru-baru ini, AAX telah menjual hampir 7,000 tempat duduk bagi penerbangan pergi balik.
Hampir semua penerbangan antara Xi’an dan Kuala Lumpur mencapai lebih 80 peratus muatan penumpang sejak ia dilancarkan semula dan AAX menjangka peningkatan permintaan bagi laluan ini sehingga 10,000 tempat duduk dalam beberapa bulan akan datang.
Sebagai kumpulan syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar di China, AirAsia terus komited untuk meningkatkan kesalinghubungan antara Malaysia dan China.
Dengan penambahan tiga penerbangan mingguan ke Xi’an, AAX kini mengendalikan 37 penerbangan mingguan dengan enam laluan secara keseluruhan ke China.
Konsulat Jeneral Malaysia di Xi’an, Lum Wan Liang berkata penyambungan semula perkhidmatan AAX bagi laluan Xi’an-Kuala Lumpur merupakan kejayaan penting bukan sahaja bagi syarikat penerbangan ini malah terhadap hubungan Malaysia-China.
“Ini merupakan pencapaian penting bagi kedua-dua negara, terutamanya dalam meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun ini.
“Penyambungan perkhidmatan ini juga dijangka akan memacu peningkatkan peluang pelancongan dan perdagangan, selain menyokong inisiatif perjalanan tanpa visa oleh kerajaan.
“Kami juga berharap ia akan menyokong sasaran kerajaan Malaysia untuk menyambut lima juta pelancong dari China pada tahun 2024.” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata pelancaran semula laluan ini bukan hanya membolehkan pengembara dari China dan Malaysia untuk menerokai bandar-bandar ini dengan lebih nilai malah merupakan bukti komitmen pihaknya untuk terus berkembang di pasaran China.
“Kejayaan penerbangan sulung kami dari Kuala Lumpur pada awal bulan ini dengan muatan penumpang sebanyak 100 peratus adalah bukti kukuh terhadap permintaan laluan ini.
“Kami menjangka akan terus mengembangkan kehadiran di China dan penyambungan semula operasi ini akan memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara ini.
“Pada masa kini, AAX mengendalikan enam penerbangan secara terus ke China termasuk laluan ke Changsha yang dilancarkan pada minggu lepas. Kami berharap dapat membawa lebih ramai pelancong dari China ke Malaysia dan sebaliknya pada tahun ini,” katanya.





