Ajak Ram Singh ‘Bersilat’, Jurutera Serah Diri Kepada Polis

Ajak Ram Singh ‘Bersilat’, Jurutera Serah Diri Kepada Polis

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang jurutera berusia 27 tahun menyerah diri kepada pihak polis hari ini selepas didakwa menghantar ugutan bunuh dan kata-kata kesat kepada peguam terkenal, Datuk Ram Singh.

Suspek, dikenali sebagai Shaiful Hazwan Aiman, dipercayai memperoleh nombor peribadi Ram sebelum menghantar mesej berbaur ancaman dan menghina melalui aplikasi WhatsApp. 

Ram kini mewakili salah seorang daripada lima pelajar yang dituduh dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Difahamkan, selepas mengetahui Ram berhasrat mengambil tindakan undang-undang, suspek berubah nada dan menghantar mesej permohonan maaf.

Namun, laporan polis tetap diteruskan dan suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Ram ketika ditemui wartawan menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan individu tersebut.

“Saya kecewa dengan rakyat Malaysia yang tidak mengenali saya tetapi sanggup mengugut dan menghina seperti ini. 

“Walhal saya seorang yang suka membantu orang lain, malah sering beri khidmat guaman secara pro bono.

”Namun, lelaki ini perlu diajar. Lihat sahaja bahasa yang digunakan. Saya rasa dia tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata aan menyerahkan kes itu kepada peguamnya, Joan Goh, untuk tindakan selanjutnya.

“Kertas siasatan sudah siap dan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara Sabah. Saya tidak akan menarik balik laporan ini,” tambahnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, bagi mana-mana individu yang menggunakan kata-kata atau perbuatan bersifat ugutan, penghinaan atau ancaman yang boleh menyebabkan seseorang berasa terganggu, takut atau terancam.