ESSCOM Perkenal Istilah Baharu “Kawasan Sabah Timur” Ganti “Pantai Timur Sabah”

ESSCOM Perkenal Istilah Baharu “Kawasan Sabah Timur” Ganti “Pantai Timur Sabah”

0
SHARE

LAHAD DATU: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Deputi Komisioner Polis Datuk Victor Sanjos, hari ini mencadangkan agar semua pihak, termasuk komuniti maritim, pengamal media dan penyelidik, menggunakan istilah baharu “Kawasan Sabah Timur” bagi menggantikan terminologi “Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah”.

Beliau menjelaskan bahawa istilah baharu itu lebih tepat kerana menggambarkan keseluruhan tiga domain kawalan ESSCOM iaitu darat, laut dan udara dan bukan hanya kawasan pantai semata-mata.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk memaklumkan kepada rakan-rakan media dan pengkaji bahawa mereka sering merujuk kawasan ini sebagai Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah. 

“Hari ini, saya ingin perbetulkan. Kita gunakan istilah ‘Kawasan Sabah Timur’, yang merangkumi ketiga-tiga domain utama iaitu darat, laut dan udara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, istilah rasmi yang wajar digunakan adalah Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone), atau dalam Bahasa Melayu, Kawasan Selamat Sabah Timur, bagi menggambarkan peranan menyeluruh ESSCOM dalam memastikan keselamatan dan kestabilan di wilayah berkenaan.

Victor, yang mengetuai Eastern Command, berkata penyeragaman istilah itu penting bagi memastikan kefahaman dan penyampaian maklumat yang tepat dalam kalangan agensi keselamatan, media, serta orang awam.