WARISAN Bakal Tanding 25 Kerusi Parlimen Sabah, Satu Kerusi Parlimen Labuan Hadapi...

WARISAN Bakal Tanding 25 Kerusi Parlimen Sabah, Satu Kerusi Parlimen Labuan Hadapi PRU-15

0
SHARE
Sidang media Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas mesyuarat Majlis Tertinggi WARISAN di ibu pejabat WARISAN Kolombong Kota Kinabalu...(Ihsan Foto: WARISAN Sabah)

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 25 kerusi Parlimen Sabah dan satu kerusi di Parlimen Labuan bakal dipertandingkan oleh Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU)-15 yang bakal diadakan kelak.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan pihaknya berhasrat menjadikan PRU-15 sebagai platform untuk ‘set semula’ negara ini khususnya Sabah.

Disamping itu, beliau turut menjelaskan perkara berhubung jumlah kerusi Parlimen yang bakal dipertandingkan itu juga telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi WARISAN.

Menurutnya, pembubaran Parlimen telah dilaksanakan ketika negara sedang menghadapi cuaca tidak menentu dan banjir melanda di beberapa negeri disamping menyedari perkara terbabit adalah diluar bidang kuasa pihaknya.

Walau bagaimanapun, pada masa yang sama juga Mohd Shafie melihat PRU-15 pendekatan untuk memperbaharui semula keadaan di Malaysia terutamanya Sabah.

“Diperingkat Majlis Tertinggi kita sudah putuskan bahawa kemungkinan besar kita akan bertanding di 25 kawasan kerusi parlimen yang ada termasuk satu kerusi Parlimen di Labuan…

“Tujuan kita mahu bertanding kerana kita mahu menetapkan semula keadaan, pentadbiran dan cara pengurusan diperingkat negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi WARISAN berkenaan persediaan PRU-15 di ibu pejabat WARISAN Kolombong, hari ini.

Sementara itu, Mohd Shafie juga berkata kemungkinan terdapat wajah baharu terutamanya calon orang muda yang akan diketengahkan namun akan diputuskan kelak.

“Kemungkinan adanya muka baharu dan muka lama tapi saya akan umumkan bila waktunya sampai nanti…

“Apa yang penting adalah untuk memastikan kemenangan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga memaklumkan WARISAN telah mengenal pasti kerusi Parlimen di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia untuk dipertandingkan pihaknya pada PRU-15 nanti.

“Kita ada kenal pasti beberapa kerusi yang kita akan tandingi iaitu di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan mungkin di Kelantan satu kerusi sahaja,” katanya.