TAMPARULI: Akar umbi Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tamparuli menegaskan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang mesti dipilih daripada kalangan anak jati serta pemimpin tempatan yang lama berkhidmat kepada masyarakat.
Mereka menolak cadangan membawa masuk calon luar, termasuk nama Prof. Madya Dr. Bonaventure Boniface dari Kuala Penyu yang kini AJK PBS Pantai Dalit, dengan alasan beliau bukan anak tempatan Tamparuli.
Menurut mereka, tindakan itu boleh menjejaskan perpaduan parti dan memberi gambaran seolah-olah PBS Tamparuli kekurangan pemimpin pelapis.
“PBS Tamparuli tidak pernah ketandusan pemimpin. Ramai tokoh berpengalaman dan anak muda setia yang layak diketengahkan,” kata seorang wakil akar umbi.
Mereka menegaskan politik menuntut keakraban dengan rakyat, bukan teori semata-mata, dan calon luar jarang mendapat kepercayaan pengundi.
Akar umbi turut menyeru kepimpinan pusat agar menghormati suara bahagian demi mengelak penolakan dalaman serta mengekalkan kekuatan PBS di Tamparuli.