KOTA KINABALU: Siri jelajah Tamu Suara 360° (TS360) melabuhkan tirainya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini dengan sambutan luar biasa apabila lebih 3,000 peserta hadir bagi sesi penutup, menandakan kejayaan inisiatif libat urus terbesar melibatkan belia di negeri ini.
Sepanjang penganjuran, program berkonsepkan dialog dua hala antara kerajaan dan golongan belia itu telah menarik penyertaan lebih 16,000 orang melalui 16 siri jelajah di seluruh Sabah, daripada Kudat hingga ke Tawau.
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata, TS360 merupakan platform inklusif yang digerakkan buat pertama kali dengan sokongan penuh Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS).
“Usaha julung kali ini diadakan bagi memastikan suara belia, terutama di peringkat akar umbi, diambil kira secara inklusif sebagai sebahagian daripada panduan kerajaan negeri dalam menggubal dasar dan polisi pembangunan belia,” jelas Abqaree.
Beliau menambah, TS360 menjadi wadah penting bagi menghubungkan pandangan generasi muda dengan pembuat dasar agar hala tuju pembangunan negeri sentiasa sejajar dengan aspirasi belia.
“Program ini menongkah arus birokrasi, menjadikannya istimewa kerana belia dari segenap lapisan komuniti termasuk luar bandar, bebas berkongsi pandangan dan idea di hadapan pembuat keputusan.
“Saya berharap program ini diteruskan setiap tahun sebagai jambatan komunikasi mudah antara belia dan kerajaan negeri,” katanya.
Majlis penutupan TS360 di SICC turut dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menzahirkan penghargaan kepada golongan muda atas penglibatan aktif mereka dalam pembangunan negeri di bawah agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).
Untuk rekod, siri jelajah TS360 turut melibatkan pelbagai lokasi utama termasuk Kota Kinabalu, Penampang, Keningau, Kudat, Sandakan dan Tawau, dengan satu sesi pembuka khas di Kuching, Sarawak.






