KOTA KINABALU: Akta Setem 1949 perlu disemak semula agar lebih adil dan sesuai dengan realiti ekonomi semasa, khususnya bagi komuniti luar bandar dan perniagaan kecil di Sabah.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI), Dennison R. Indang, undang-undang yang digubal sebelum kemerdekaan itu kini membebankan rakyat biasa dengan penalti tetap dan proses rumit, tanpa mempertimbangkan konteks tempatan.
“Banyak transaksi di Sabah bersifat tidak formal termasuk pinjaman komuniti, sewaan keluarga dan perjanjian kecil tetapi tetap tertakluk kepada penalti yang tidak seimbang,” katanya.
Beliau mencadangkan pengecualian duti untuk transaksi bernilai kecil, pengampunan kesalahan kali pertama, kuasa autonomi untuk Sabah dan Sarawak, sistem digital mesra rakyat serta penubuhan jawatankuasa khas Parlimen bagi menilai semula keseluruhan Akta.
“Kita tidak lagi hidup dalam tahun 1949. Undang-undang kita mesti adil, praktikal dan mencerminkan semangat Malaysia moden,” tegasnya.






