KOTA KINABALU: Taktik sindiket menggunakan lesen pusat hiburan keluarga dan e-sport sebagai ‘topeng’ untuk menjalankan aktiviti perjudian haram terbongkar apabila 15 individu ditahan dalam Op Dadu Khas di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.
Operasi bersepadu selama dua hari bermula 1 April itu dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama kontinjen Sabah, menyasarkan premis yang disyaki menjalankan perjudian termasuk menggunakan peranti elektronik dan platform dalam talian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, CP Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita berusia antara 20 hingga 68 tahun, melibatkan penjaga premis serta pemain.
“Kesemua tangkapan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, IPD Tawau dan IPD Sandakan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian termasuk tiga unit mesin simulator, 38 unit komputer serta wang tunai berjumlah RM6,680.
Siasatan awal mendapati premis yang diserbu tidak memiliki lesen perniagaan atau lesen hiburan yang sah, selain menjalankan kegiatan perjudian secara tersembunyi dengan berselindung di sebalik lesen pusat hiburan keluarga dan e-sport.
Operasi sama turut dijalankan di Selangor, namun tindakan di Sabah memberi tumpuan terhadap trend baharu penyalahgunaan premis hiburan sebagai lokasi perjudian haram.
Datuk M. Kumar menegaskan PDRM akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh bagi membanteras kegiatan perjudian haram di negara ini.
“PDRM ingin menegaskan bahawa tindakan total enforcement akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram bagi menjamin kesejahteraan sosial rakyat Malaysia,” tegasnya.
Beliau turut menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan tersebut daripada terus berleluasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 6 Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta peruntukan berkaitan di bawah Akta Imigresen 1959/63.






