Anwar tekankan kerjasama Sabah-Persekutuan, tolak politik perpecahan

Anwar tekankan kerjasama Sabah-Persekutuan, tolak politik perpecahan

0
SHARE

TAWAU, 26 September – Hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri Sabah perlu terus diperkukuh demi memastikan kebajikan rakyat tidak terpinggir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan politik seharusnya berpaksikan kepentingan rakyat, bukannya sengketa kaum atau persaingan wilayah.

“Jangan kita bermusuh… Melayu lawan Cina, Dusun lawan Kadazan, Cina lawan India atau Sabah lawan Semenanjung.

“Kita pilih orang yang baik – sama ada dari Sabah atau Semenanjung – supaya kerajaan negeri dan Persekutuan dapat bekerjasama menjaga rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Rapat Umum PKR di Dewan Terbuka Dato Sri Najib, Kampung Merotai Besar, malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ahli Parlimen Tawau, Datuk Loh Su Fui.

Anwar turut menekankan beberapa langkah kerajaan untuk meringankan beban rakyat, termasuk pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan i-SARA berjumlah RM15 bilion setahun, kenaikan gaji penjawat awam selepas 12 tahun, serta langkah penjimatan dengan memotong 20 peratus gaji menteri dan timbalan menteri.

Sabah dan Sarawak, katanya, tetap diberi keutamaan melalui dasar kerajaan, antaranya mengekalkan harga diesel di Borneo walaupun berlaku pelarasan di Semenanjung, selain menekankan pelaksanaan projek penting seperti bekalan air, tebatan banjir yang dijangka siap pada 2028, dan pembangunan berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pada majlis itu, Anwar turut memperkenalkan Datuk Ruji Ubi, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, yang kini kembali berkhidmat untuk Sabah.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka selewat-lewatnya November ini, beliau menegaskan bahawa calon yang dipilih perlu benar-benar berakar pada rakyat.

“Kalau wakil itu dari Merotai, dia mesti ada semangat cinta kepada orang Merotai, namun tetap membawa semangat rakyat Sabah dan Malaysia seluruhnya,” tegasnya.