“Ayuh Kita Bersatu Sebagai Rakyat Sabah” – Jeffrey Beritahu Pemimpin Politik

“Ayuh Kita Bersatu Sebagai Rakyat Sabah” – Jeffrey Beritahu Pemimpin Politik

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Pergolakan politik di Tanah Melayu sekarang tidak seharusnya dijadikan modal bagaimana parti politik Sabah patut melayan rakan sekutu mereka.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, apa sahaja yang berlaku di Tanah Melayu antara Umno dan parti dalam Perikatan Nasional (PN), perlu kekal di situ.

“Saya berharap kita akan dapat bekerjasama antara satu sama lain di Sabah…

“Jika kita tidak membenarkan kekeliruan dan ketidakpastian seperti itu berlaku juga di sini, saya percaya kita akan dapat memenangi banyak kerusi tanpa menjejaskan hubungan baik yang sedia ada.

“Saya mohon pemimpin politik kita berfikir sebagai rakyat Sabah. Kita tidak boleh membiarkan ‘penyakit’ di Tanah Melayu menjangkiti kita. Pemimpin kita mesti bersatu dan bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan ulang tahun ke-65 Stesen Penyelidikan Pertanian Bukit Quion di sini pada Sabtu.

Menjawab soalan mengenai pengaruh politik STAR di pantai timur Sabah, Jeffrey berkata ketua bahagian parti itu bekerja keras untuk memperkenalkan parti dan ideologinya kepada pengundi di sini.

“Kita tidak tahu bila pilihan raya umum akan diadakan, tetapi STAR bersama parti-parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah bersedia untuk menghadapinya…

“Bagi STAR, jika kami percaya ada peluang untuk menang di sini, sudah tentu kami akan meminta kerusi. Bagaimanapun, ia bergantung sepenuhnya kepada daya tarikan parti itu kepada pengundi.

“Sebab itu kita mesti memastikan pengundi dimaklumkan tentang kita supaya kita boleh memujuk mereka bahawa kita adalah pilihan terbaik mereka untuk mereka dan masa depan mereka,” katanya.