KUALA LUMPUR – Sabah dan Sarawak akan menerima peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan masing-masing kepada RM5.2 bilion dan RM4.6 bilion dalam Bajet 2022.
Hal itu diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini (29 Okt).
Menurutnya, peruntukan itu antaranya bagi melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, dan jalan raya, serta kemudahan pendidikan dan kesihatan.
Dalam inisiatif 3, Akses Kemudahan Pengangkutan, beliau berkata penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak ada yang terpaksa menempuh jalan balak dan memakan masa berjam-jam untuk mendapatkan perkhidmatan di pekan berdekatan.
Justeru katanya, kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi oleh mereka seperti penduduk di Kudat dan Long Pasiah di Sabah serta Ba’kelalan dan Bario di Sarawak.

“Oleh itu, bagi tahun hadapan, kerajaan akan terus memberikan subsidi sebanyak RM209 juta bagi perkhidmatan pengangkutan udara untuk manfaat penduduk setempat,” katanya lagi.
Dalam inisiatif 4 pula, iaitu Infrastruktur Luar Bandar, beliau berkata, sebanyak RM1.5 bilion disediakan untuk pembangunan infrastruktur luar bandar Sabah dan Sarawak.





