Banjir Di Penampang, Ewon Arah Pusat Khidmat Bantu Jawatankuasa Bencana Daerah

Banjir Di Penampang, Ewon Arah Pusat Khidmat Bantu Jawatankuasa Bencana Daerah

0
SHARE
Banjir
Suasana banjir di sekitar Penampang semalam ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mengarahkan pegawai Pusat Khidmat Parlimen Penampang membantu petugas Jawatankuasa Bencana Daerah Penampang untuk menangani situasi semasa banjir di daerah itu akibat hujan lebat sejak petang semalam.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, ini berikutan beberapa kampung dilaporkan dinaiki air.

“Saya berhubung dengan Pegawai Daerah Penampang (Francis Chong) mengenai situasi semasa banjir di Penampang.

“Pegawai Daerah telah mengisytiharkan berlakunya bencana banjir dan Bilik Gerakan Bencana telah diaktifkan. Semua petugas jabatan telah diminta bertugas sesuai dengan tugas dan jadual yang ditetapkan.

“Pusat pemindahan sementara juga dibuka mengikut keperluan dan operasi pemindahan mangsa banjir di lapangan juga dilakukan.

“Oleh kerana saya berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang Parlimen, saya telah meminta semua pegawai pejabat Menteri saya yang berada di Sabah dan urusetia Pusat Khidmat Parlimen Penampang untuk membantu pusat bencana daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Ewon berkata, beliau akan mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa daripada pegawai daerah dan agensi berkaitan bagi memantau bencana banjir di Penampang.

“Saya meminta semua penduduk mengambil langkah-langkah keselamatan sepanjang bencana dan cuaca hujan lebat ini,” katanya.