Bekalan Air Kepada 58,080 KIR Terjejas Kemarau

Bekalan Air Kepada 58,080 KIR Terjejas Kemarau

0
SHARE
Hajiji
Hajiji (dua kanan) menyaksikan penyerahan bantuan JBPM daripada Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shahminan Ag, Sahari kepada Razak (kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Bekalan air akan diagihkan kepada 58,080 Ketua Isi Rumah (KIR) merangkumi 355 buah kampung dalam 12 daerah di seluruh Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata bagi tujuan ini kerajaan negeri memperuntukkan RM7.5 juta dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Jabatan Air Negeri Sabah dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah terjejas kini sedang mengagihkan air kepada penduduk yang terlibat.

“Daerah yang terjejas teruk akibat kekurangan air ialah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau.

“Loji rawatan air di kawasan tadahan semakin kering akibat kemarau sejak pertengahan Februari 2024 dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya keadaan berterusan,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di Menara Kinabalu, pada Rabu.

Pada majlis tersebut, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menerima bantuan RM267,444 untuk pembelian peralatan tambahan termasuk 27 pam mudah alih, 75 pam sandang berenjin dan 906 unit alat pemerap api serta pencakar api.

Hajiji memaklumkan sehingga 26 Mac, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan melibatkan kawasan seluas 9,392.23 ekar sementara kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang berkeluasan 8.55 ekar masih belum dapat dibendung sepenuhnya.

“Sehingga kini, JBPM telah mengerahkan 319 anggota bomba di seluruh Sabah dan kerajaan negeri berjanji untuk memberi bantuan kepada jabatan itu bagi mengawal kebakaran,” katanya.

Beliau juga menyatakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengesyorkan operasi pembenihan awan di kawasan yang terjejas akibat cuaca panas dan kering pada 28 hingga 30 Mac.

“Operasi pembenihan awan akan berdasarkan ramalan atmosfera awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan jika pembenihan awan dilakukan.

“Kos akan ditanggung sepenuhnya oleh NADMA manakala MET Malaysia telah bersetuju menyediakan sumber manusia dan bantuan teknikal.

“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Labuan akan menyediakan sokongan logistik dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.

“Kita berharap operasi pembenihan awan akan berjalan lancar dan menghasilkan hujan di kawasan terjejas di Sabah,” ujarnya.

Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sabah, PPj ( PA ) Mohd Yusoff Samad, Pengarah JBPM Negeri Sabah, Abdul Razak Muda. — JABATAN PENERANGAN SABAH