KOTA KINABALU: Bekalan elektrik di daerah Sandakan yang terjejas akibat insiden tanah runtuh di Penampang kini pulih sepenuhnya pada jam 3.11 petang Ahad.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity), Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj. Jaafar berkata, kerja-kerja pemulihan di Sandakan dilaksanakan secara berperingkat sejak Sabtu selepas talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud terganggu berikutan tumbangnya sebuah menara di Kampung Sarapung.
“Hasil pemeriksaan mendapati punca gangguan adalah disebabkan tiang menara tergelincir daripada kedudukan asal akibat tanah runtuh. Kejadian itu turut menjejaskan pengguna di Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Beluran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Sabah Electricity turut menggerakkan 27 unit generator mudah alih (genset) ke kawasan-kawasan terjejas termasuk Telupid, Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau. Genset itu ditempatkan di lokasi strategik seperti hospital, balai polis, balai bomba dan klinik kesihatan bagi memastikan kelancaran operasi penting.
Dalam pada itu, Mohd Yaakob menjelaskan kerja-kerja pemasangan Menara Pengalihan Sementara atau Emergency Restoration System (ERS) akan dilaksanakan mengikut jadual. Katanya, kontena membawa peralatan ERS telah tiba di lokasi menara tumbang pada jam 2 petang Ahad dan pasukan teknikal Sabah Electricity sedang giat melakukan pemasangan bagi menggantikan menara kekal yang runtuh.
“Sabah Electricity merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta Kerajaan Negeri Sabah atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan sepanjang usaha pemulihan ini,” tambah beliau.






