Bekalan Elektrik Ke Kawasan Pantai Timur Sabah Pulih Selepas Lima Jam

Bekalan Elektrik Ke Kawasan Pantai Timur Sabah Pulih Selepas Lima Jam

0
SHARE
Sesb
Logo SESB ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Bekalan elektrik yang terputus di bahagian Pantai Timur Sabah dan menjejaskan tujuh daerah sejak pukul 12.14 tengah hari tadi akhirnya berjaya dipulihkan sepenuhnya pada pukul 5.24 petang.

Daerah Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Kunak menerima bekalan mereka semula beberapa jam lebih awal sebelum Semporna, Lahad Datu dan Tawau.

Gangguan itu juga menyebabkan pemotongan air di daerah terjejas kerana loji rawatan air tidak dapat beroperasi.

Sabah Electricity bagaimanapun tidak menyatakan punca gangguan.

Isnin lalu, pengerusinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata negeri Sabah bakal menghadapi masalah di seluruh negeri mulai Januari tahun depan jika kerajaan persekutuan tidak memberikan sokongan kewangan segera.

Ahli Parlimen Tuaran itu memetik kandungan surat daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah memaklumkan kepadanya bahawa tambahan RM866 juta subsidi elektrik yang diberikan tahun lepas tidak akan dipertimbangkan tahun ini kerana kekangan fiskal.

Sejak 2014, tarif elektrik Sabah telah ditetapkan pada kadar subsidi 34.52 sen setiap kWj manakala kos penjanaan kuasa dan perolehan telah meningkat.