Belanjawan 2024 Tangani Isu Air, Rangsang Kewangan Islam Di Labuan

Belanjawan 2024 Tangani Isu Air, Rangsang Kewangan Islam Di Labuan

0
SHARE
Ujana kewangan
Sekadar gambar hiasan ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

LABUAN – Pemimpin tempatan memuji Belanjawan 2024 kerana memberi penyelesaian kepada masalah bekalan air yang berlanjutan di Labuan, selain merangsang sektor Kewangan Islam di pulau itu.

Memetik sumber Bernama, Senator Tan Sri Anifah Aman berkata, peruntukan yang amat diperlukan itu disasarkan untuk membaik pulih paip air dan infrastruktur penting berkaitan air yang lain.

Beliau berkata, kekurangan bekalan air bersih sekian lama membelenggu penduduk dan peruntukan itu menjanjikan kelegaan kepada mereka yang terjejas.

Ketika membentangkan belanjawan negara pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sejumlah RM1.1 bilion diperuntukkan untuk melaksanakan langkah penyelesaian kepada isu bekalan air di Kelantan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sementara itu, Ketua Parti Bersatu Sabah Labuan, Datuk Peter Mak, berkata penyelesaian kepada isu itu sangat penting bukan sahaja kepada penduduk, malah bagi menyokong dan mengembangkan aktiviti industri di pulau itu.

“Langkah itu dijangka menjana faedah jangka panjang, termasuk peningkatan peluang pekerjaan,” katanya.

Selain itu, Belanjawan 2024 turut menggariskan langkah untuk meningkatkan status Labuan sebagai Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC), dan entiti Labuan yang terbabit dalam aktiviti Kewangan Islam di Labuan kini boleh menikmati pengecualian cukai penuh untuk lima tahun, dan insentif itu dijangka merangsang kedudukan pulau itu dalam sektor kewangan luar pesisir global.

Anifah, yang juga bekas Menteri Luar berkata insentif itu bakal menarik pelabur teknologi kewangan (fintech) berkepakaran dalam Kewangan Islam, sekali gus memacu potensi Labuan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Pengecualian cukai lima tahun itu adalah insentif yang menarik pelabur ke Labuan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kewangan atau perdagangan berkaitan Kewangan Islam. Apabila pelabur dalam sektor ini datang ke Labuan, ekonomi akan berkembang, mencipta pekerjaan bernilai tinggi dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.