Belanjawan2026: Penjawat Awam Sabah Terima Bantuan Khas Sebulan Gaji, Minimum RM2,000

Belanjawan2026: Penjawat Awam Sabah Terima Bantuan Khas Sebulan Gaji, Minimum RM2,000

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penjawat awam Sabah bakal menikmati Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan sebulan gaji atau minimum RM2,000, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Seramai 18,853 penjawat awam termasuk mereka berstatus Kontrak, Vot Terbuka dan Pekerja Sambilan Harian akan menerima manfaat itu dengan implikasi kewangan berjumlah RM52.6 juta.

“Bayaran dibuat dalam dua fasa iaitu pada Februari sebelum Aidilfitri dan sebelum Pesta Kaamatan 2026. Pesara Kerajaan Sabah turut menerima RM1,000 yang akan dibayar tahun depan,” katanya.

Masidi yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, perkhidmatan awam adalah nadi pentadbiran kerajaan yang perlu sentiasa cekap dan berkesan.

“Sehubungan itu, kerajaan memperuntukkan RM7.6 juta bagi memperkukuh pembelajaran berterusan dalam kalangan penjawat awam bagi melahirkan pegawai yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

“Selain itu, sebanyak RM16.85 juta turut diagihkan kepada agensi kerajaan negeri untuk program pembangunan sumber manusia bagi memastikan penjawat awam kekal terlatih dan bersedia menghadapi cabaran semasa,” katanya lagi.

Belanjawan 2026 terus menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan kesejahteraan serta profesionalisme penjawat awam sebagai teras pengukuhan pentadbiran Sabah.