PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran cuaca buruk akan melanda empat buah negeri pagi ini.
Met Malaysia dalam satu kenyataan berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di negeri Pahang melibatkan kawasan Bentong, Bera dan Rompin manakala di Negeri Sembilan di Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin…
“Amaran tersebut turut melibatkan semua kawasan di Melaka dan Sarawak (Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong),” katanya di sini hari ini.
Katanya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
Tambah kenyataan tersebut, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.