Keningau Disytihar Bencana Banjir, Hujan Lebat Berterusan Sejak Semalam

Keningau Disytihar Bencana Banjir, Hujan Lebat Berterusan Sejak Semalam

0
SHARE
Foto: Ihsan APM Keningau

KOTA KINABALU:Daerah Keningau telah diisytihar sebagai kawasan bencana banjir susulan hujan lebat berterusan sejak semalam dan kini berlaku kenaikan paras air sungai tahap bahaya hari ini.

Pegawai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Keningau Peter Jonu @ J.Moinjil memaklumkan, pengisytiharan itu dibuat pada jam 1 pagi hari ini.

“Dengan ini berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD maka adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di daerah Keningau.

“Pengisytiharan bencana dibuat pada jam 1 pagi hari ini (Khamis),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Peter berkata, berikutan itu, pengoperasian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Keningau diaktifkan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Keningau dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 66 mangsa terjejas banjir melibatkan 16 ketua isi rumah (KIR) dipindahkan ke PPS setakat jam 1 pagi tadi.

Dari jumlah itu, seramai 18 orang melibatkan lelaki dewasa; 15 perempuan dewasa; 12 kanak-kanak perempuan; tujuh kanak-kanak lelaki; enam warga emas lelaki; empat warga emas perempuan; dua orang kelainan upaya (OKU) lelaki dan masing-masing satu bayi lelaki dan perempuan.