Lelaki Mengamuk Dan Ancam Ahli Keluarga Tanpa Sebab, Disyaki Dibawah Pengaruh Barang...

Lelaki Mengamuk Dan Ancam Ahli Keluarga Tanpa Sebab, Disyaki Dibawah Pengaruh Barang Terlarang

0
SHARE
Gambar Hiasan

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki yang mengamuk di rumahnya di sekitar perkampungan Batu 3, Jalan Apas, Tawau dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.40 tengah malam pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihak Polis telah menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki berusia 39 tahun iaitu abang ipar suspek yang menyatakan adik iparnya bertindak agresif dan mengancam keselamatan ahli keluarganya.

Katanya, sebelum itu, suspek bertindak mengamuk tanpa sebab dengan memecahkan peralatan di dalam rumah sehingga berlaku pergelutan antara suspek dengan mangsa dalam usaha untuk menenangkan suspek.

“Sebaik menerima maklumat dari pusat kawalan daerah, sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) segera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, pihak Polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 23 tahun tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

“Suspek kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah ACP Jasmin, pihak polis sedang menyiasat punca kejadian tersebut dan tidak menolak kemungkinan suspek berada di bawah pengaruh bahan terlarang.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan menyebabkan kerosakan harta benda dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.