Gagasan Rakyat Tempasuk Terima 100 Ahli Baharu

Gagasan Rakyat Tempasuk Terima 100 Ahli Baharu

0
SHARE

KOTA BELUD: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari menerima kemasukan seramai 100 orang ahli baharu daripada mukim Rosok sekaligus memperkukuh sokongan akar umbi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Menurut Arsad, pertambahan ahli baharu ke dalam parti tersebut menggambarkan penerimaan positif rakyat terhadap dasar dan polisi kerajaan pimpinan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor sepanjang 5 tahun.

“Kemasukan ahli baharu di mukim Rosok ke dalam PGRS Tempasuk merupakan manifestasi kepada penerimaan rakyat terhadap dasar dan polisi kerajaan Datuk Seri Hajiji Noor sepanjang 5 tahun ini”, ujar beliau dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Pada masa sama, Arsad yang juga calon dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk menyeru pengundi di Sabah khususnya di DUN itu agar meletakkan kestabilan politik sebagai kriteria utama dalam melakukan pemilihan pada 29 November ini.

“Saya ingin menyeru pengundi di Sabah khususnya Tempasuk agar menjadikan kestabilan politik sebagai asas utama untuk kita memilih pemimpin.

“Dalam konteks ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ialah wadah politik yang menepati kriteria tersebut.

“GRS di bawah Datuk Seri Hajiji satu-satunya gabungan parti yang berusaha menyatukan pemimpin-pemimpin parti politik di negeri ini demi kestabilan politik meskipun sebahagian parti komponen GRS sebelum ini tidak mempunyai hatta satu kerusi DUN pun.

“Semua ini dilakukan demi melihat rakyat Sabah menerima manfaat limpahan ekonomi hasil daripada kestabilan politik yang kita kecapi,” Arsad menambah.

Pada Sabtu, 100 orang penduduk di mukim Rosok mengisytihar menyertai PGRS dalam satu majlis penyerahan borang keahlian yang diadakan di markas PGRS Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rosok.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Bahagian PGRS Tempasuk yang juga mantan ADUN Tempasuk, Datuk Musbah Jamli.