LAHAD DATU: Sebanyak 1,530 paket minyak masak bersaiz satu kilogram dan 15 gelen minyak petrol berjaya dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dalam satu operasi di perairan Felda Sahabat awal pagi Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, operasi dijalankan hasil maklumat risikan sebelum bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot mencurigakan pada pukul 5.30 pagi, kira-kira 0.16 batu nautika Tenggara Kampung Tandu Tungku.
“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot tersebut telah bertindak memecut laju dan mengubah haluan ke arah daratan berhampiran.
“Suspek kemudiannya bertindak terjun ke laut dan melarikan diri daripada ditahan penguat kuasa,” katanya.
Pemeriksaan awal mendapati, bot terbabit membawa beberapa kotak minyak masak yang ditutup dengan canvas coklat dan beberapa gelen minyak petrol yang disorokkan dibawah kotak minyak masak.
Kesemua barang rampasan serta bot tersebut telah dibawa ke Jeti Pos Maritim FELDA Sahabat untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sebanyak 1,530 minyak masak paket satu kilogram dan 15 gelen minyak petrol dianggarkan berjumlah dengan nilai keseluruhan minyak masak termasuk bot dianggarkan sebanyak RM75,240.00 berjaya dirampas” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu penyewelengan minyak masak dan petrol bersubsidi.






