Sokongan Mantan ADUN Kukuhkan Kesinambungan Kepimpinan GRS di Kiulu

Sokongan Mantan ADUN Kukuhkan Kesinambungan Kepimpinan GRS di Kiulu

0
SHARE

KIULU: Sokongan berterusan mantan ADUN Kiulu, Datuk Louis Rampas, terhadap calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai menonjolkan kesinambungan kepimpinan yang stabil di Kiulu bagi pilihan raya negeri ini.

Louis, 74, yang pernah mewakili Kiulu dari 1999 hingga 2013, kekal memberi sokongan sejak Joniston dicalonkan buat pertama kali pada 2013.

Berbekalkan pengalaman sebagai mantan pegawai kanan kerajaan termasuk Pegawai Daerah, Louis membentuk asas pembangunan serta perancangan awal penting bagi kawasan itu, yang kemudiannya diteruskan oleh Joniston dalam semangat kesinambungan dan kerjasama.

Keterlibatan dua pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS), parti komponen GRS, turut menggambarkan hubungan politik yang mantap dan fokus kepada pembangunan setempat.

“Saya amat menghargai sokongan berterusan Datuk Louis yang saya anggap a real gentleman sejak hari pertama saya dicalonkan.

“Beliau meninggalkan asas kukuh, dan menjadi tanggungjawab saya meneruskan perancangan itu supaya Kiulu terus maju dengan cara tersusun dan menyeluruh,” kata Joniston pada ceramah di PDM Tomis, Sabtu.

Di bawah pentadbiran Joniston, Kiulu menyaksikan pelaksanaan pelbagai usaha pembangunan yang lebih tersusun, termasuk mengukuhkan inisiatif terdahulu serta memperkenalkan program baharu bagi memenuhi keperluan penduduk.

Peruntukan ADUN yang lebih tinggi di bawah kerajaan GRS turut memacu projek pembangunan secara lebih progresif.

“Joniston menunjukkan kesungguhan dan integriti sejak mengambil alih tanggungjawab pada 2013.

“Saya melihat sendiri bagaimana perancangan lama diperkukuh dengan inisiatif baharu, dan sebab itu saya terus berdiri bersama beliau untuk masa depan Kiulu,” kata Louis.