Polis Buru Sekumpulan Lelaki Belasah 2 Orang Pekerja ‘FoodPanda’

Polis Buru Sekumpulan Lelaki Belasah 2 Orang Pekerja ‘FoodPanda’

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – DUA (2) pekerja ‘FoodPanda’ dibelasah lapan (8) orang lelaki dipercayai berlaku di luar sebuah pub di Cyber City, sini, pada 20 Oktober (Rabu) lalu.

Rakaman insiden kira-kira pukul 3 pagi mula tular di media sosial beberapa hari yang lalu.

Ekoran itu, polis telah menahan seorang lelaki dan giat memburu tujuh (7) lagi berhubung kes berkenaan.

Difahamkan dua (2) lelaki berumur 19 tahun dibelasah lapan (8) yang lain menggunakan topi keledar dan kepala tali pinggang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Zaidi Abdullah berkata kedua-dua pihak berada dalam keadaan mabuk dan berlakunya pandang-memandang sewaktu di dalam pub berkenaan yang mencetuskan pergaduhan.

“Apabila berada di luar premis, lapan (8) suspek bertindak menarik seorang mangsa dan terus memulakan pembelasahan…

“Rakan mangsa cuba membantu namun turut dibelasah,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini sambil menambah aksi ‘pengeroyokan’ itu dileraikan orang awam tidak lama kemudian.

 

 

 

 

 

 

VIDEO tular yang jelas kelihatan dua orang pekerja ‘FoodPanda’ dibelasah lapan (8) orang lelaki di luar sebuah pub di Cyber City, Kota Kinabalu…

Zaidi berkata semua suspek melarikan diri dalam sebuah kereta Proton Saga berwarna kelabu.

“Mangsa tidak dapat mengingati nombor pendaftaran kenderaan namun mendengar jeritan dari salah seorang suspek untuk mencari ‘Faizal’ di Sinsuran Blok 4,” katanya.

Kedua-dua mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) sebagai pesakit luar tanpa kecederaan serius.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Pihak polis kembali kepada premis tersebut pada keesokan hari bagi tujuan pemeriksaan dan mengeluarkan 10 kompaun kepada pelanggan dan pemilik setelah mendapi melakukan kesalahan.

“Pemantauan dari semasa ke semasa oleh pihak IPD Kota Kinabalu akan dijalankan bagi memastikan tiada kejadian sama berulang selain penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) PPN Fasa 3,” katanya.