Facebook Dijenamakan Semula, Tukar Nama Kepada META

Facebook Dijenamakan Semula, Tukar Nama Kepada META

0
SHARE
Ketua Pegawai Eksekutif Meta Platforms, Mark Zuckerberg...

CALIFORNIA – Facebook bakal menukar nama syarikatnya kepada Meta bagi mengalihkan tumpuan kepada ‘metaverse’ yang merujuk kepada usaha untuk menggabungkan teknologi realiti maya dan ditambah dalam alam online baharu.

Teka-teki mengenai nama baharu syarikat itu akhirnya terjawab apabila pengasasnya, Mark Zuckerberg mengumumkan bahawa Facebook akan menukar nama korporatnya kepada Meta selepas Facebook berdepan pelbagai cabaran termasuk kes mahkamah dan isu perlanggaran privasi.

CNN melaporkan bahawa nama baharu itu telah diumumkan oleh Zuckerberg semasa persidangan realiti maya, Facebook Connect, semalam.

“Untuk ke tahap yang seterusnya, saya banyak memikirkan identiti kami kerana Facebook adalah salah satu produk teknologi yang paling banyak digunakan dalam sejarah dunia…

“Ia adalah jenama media sosial yang ikonik, tetapi semakin hari ia tidak merangkumi semua perkara yang kami lakukan,” katanya dalam persidangan itu.

Tambahnya lagi, kebanyakan masyarakat di dunia melihat syarikatnya sebagai syarikat media sosial, padahal mereka lebih daripada itu.

“Kami adalah sebuah syarikat yang membina teknologi untuk menghubungkan orang ramai dan ‘metaverse’ adalah sempadan seterusnya yang sama seperti rangkaian sosial ketika kami bermula dulu,” katanya.

Meta telah diilhamkan dari perkataan Yunani meta yang bermaksud ‘melampaui sesuatu’. Ia melambangkan bahawa sentiasa ada sesuatu yang perlu dibina.

Meta juga dijangkakan akan mencapai satu bilion orang dalam dekad akan datang dan menjadi tempat untuk semua berinteraksi, bekerja dan mencipta kandungan.